“Ali
bila nak matang?”
“Tak
habis-habis dengan Doraemon dia”
“Suka
sangat Doraemon”
Buat mereka yang mengenali aku di luar
sana, pasti tidak akan terlepas daripada mendengar keghairahan aku berbicara
tentang Doraemon. Ada juga yang bertanya ada apa dengan Doraemon? Apa yang
begitu istimewanya karakter kartun Jepun berwarna biru berupa kucing separuh
cacat ini? Comel? Kucing? Sebab apa?
Baru ini, aku menghadiri ceramah Bedah
Kitab Ustaz Anas daripada Pusat Islam UniSZA. Di awal penceritaanya, beliau
bercerita..
“..katakanlah awak minat dekat seorang
perempuan. Awak asyik perhatikan dia dan tahu pasal dia. Katakanlah perempuan
tu bawak kereta kancil warna putih. Hok mana setiap kali kancil warna putih
lalu je, awak dok teringat kat dia sebab dia pun bawak kancil warna putih.
Padahal nombor plat lain tu…
Macam itu jugalah bila awak minat ke Rasul.
Awak tahu semua benda pasal Rasul jadi bila awak nampak je perbuatan Sunnah
Rasul, awak pun terus teringat ke Rasul. Sebab itulah kita kena sentiasa buat
perkara Nabi buat, supaya kita pun sentiasa ingat dekat Rasul macam mana Rasul
sentiasa ingatkan kita..”
Jadi, apakah kesinambungan antara ceramah
itu dengan Doraemon? Rasanya pembaca boleh mula kaitkan antara dua cerita ini
Doreamon berwarna biru. Biru itu kegemaran
arwah aku
Doraemon merupakan makhluk berupa kucing.
Kucing itu kegemaran arwah ayah aku.
Pernah juga diceritakan oleh ibuku bahawa
arwah ayah dahulu suka menonton Doraemon bersama-sama anaknya. Kadang-kadang,
terlewat maghrib kerana temankan anaknya.
Aku kehilangan arwah ayah aku ketika aku
masih berumur 4 tahun
Aku beruntung kerana sempat merasa kasih
sayang beliau yang cukup bernilai buatku. Namun begitu, kadang-kala timbul rasa
ragu dalam diri aku.
Bagaimana jika suatu hari aku mula lalai
dan lupa akan ayah aku?
Bagaimana jika aku terlalu sibuk dengan hal
dunia dan akhirat, aku terlupa akan ayah aku?
Bagaimana jika hadirnya seorang lelaki
dalam hidup aku, aku mula lupa akan ayah aku?
Lalu, penyelesaiannya aku memilih untuk
menjadikan kegemaran ayah aku sebagai kegemaranku. Pada mulanya, aku membeli
barangan Doraemon itu hanya kerana setiap kali aku melihat barangan itu aku
pasti akan teringat akan arwah ayah aku. Namun, yang dulu hanyalah kerana
teringat kini mula membiak menjadi suatu obsesi yang sukar dibendung
Doa, Yassin dan Fatihah sentiasa bersama
aku buat arwah ayah aku juga. Itu semestinya. Cumanya, andai seorang kekasih
boleh memilih berkongsi meminati citarasa lagu-movie-drama akan pasangannya
kerana ingin pahatkan memori mereka bersama, ingin sentiasa mengingatinya, aku
kira tak salah andai seorang anak meminati citarasa ayah kandungnya sebagai
pelengkap memori mereka bersama yang kian memudar dan merisaukan hati kecilnya
ini
.
Aku mungkin tak matang, aku mungkin
kebudak-budakkan
Tapi aku juga punya rasa rindu pada cinta
pertamaku itu
Aku mungkin bukan lagi kegemaran ayahku,
Tapi kegemaran ayahku akan sentiasa menjadi
kegemaranku buat selamanya.
Dan beliau
juga akan selamanya menjadi jejaka kegemaranku
Al-Fatihah Allahyarham Mohd Nordin b Salleh
<3