Thursday, March 16, 2017

Ada Apa Dengan Doraemon

“Ali bila nak matang?”
“Tak habis-habis dengan Doraemon dia”
“Suka sangat Doraemon”

Buat mereka yang mengenali aku di luar sana, pasti tidak akan terlepas daripada mendengar keghairahan aku berbicara tentang Doraemon. Ada juga yang bertanya ada apa dengan Doraemon? Apa yang begitu istimewanya karakter kartun Jepun berwarna biru berupa kucing separuh cacat ini? Comel? Kucing? Sebab apa?


Baru ini, aku menghadiri ceramah Bedah Kitab Ustaz Anas daripada Pusat Islam UniSZA. Di awal penceritaanya, beliau bercerita..

“..katakanlah awak minat dekat seorang perempuan. Awak asyik perhatikan dia dan tahu pasal dia. Katakanlah perempuan tu bawak kereta kancil warna putih. Hok mana setiap kali kancil warna putih lalu je, awak dok teringat kat dia sebab dia pun bawak kancil warna putih. Padahal nombor plat lain tu…

Macam itu jugalah bila awak minat ke Rasul. Awak tahu semua benda pasal Rasul jadi bila awak nampak je perbuatan Sunnah Rasul, awak pun terus teringat ke Rasul. Sebab itulah kita kena sentiasa buat perkara Nabi buat, supaya kita pun sentiasa ingat dekat Rasul macam mana Rasul sentiasa ingatkan kita..”

Jadi, apakah kesinambungan antara ceramah itu dengan Doraemon? Rasanya pembaca boleh mula kaitkan antara dua cerita ini

Doreamon berwarna biru. Biru itu kegemaran arwah aku
Doraemon merupakan makhluk berupa kucing. Kucing itu kegemaran arwah ayah aku.
Pernah juga diceritakan oleh ibuku bahawa arwah ayah dahulu suka menonton Doraemon bersama-sama anaknya. Kadang-kadang, terlewat maghrib kerana temankan anaknya.
Aku kehilangan arwah ayah aku ketika aku masih berumur 4 tahun
Aku beruntung kerana sempat merasa kasih sayang beliau yang cukup bernilai buatku. Namun begitu, kadang-kala timbul rasa ragu dalam diri aku.

Bagaimana jika suatu hari aku mula lalai dan lupa akan ayah aku?
Bagaimana jika aku terlalu sibuk dengan hal dunia dan akhirat, aku terlupa akan ayah aku?
Bagaimana jika hadirnya seorang lelaki dalam hidup aku, aku mula lupa akan ayah aku?

Lalu, penyelesaiannya aku memilih untuk menjadikan kegemaran ayah aku sebagai kegemaranku. Pada mulanya, aku membeli barangan Doraemon itu hanya kerana setiap kali aku melihat barangan itu aku pasti akan teringat akan arwah ayah aku. Namun, yang dulu hanyalah kerana teringat kini mula membiak menjadi suatu obsesi yang sukar dibendung

Doa, Yassin dan Fatihah sentiasa bersama aku buat arwah ayah aku juga. Itu semestinya. Cumanya, andai seorang kekasih boleh memilih berkongsi meminati citarasa lagu-movie-drama akan pasangannya kerana ingin pahatkan memori mereka bersama, ingin sentiasa mengingatinya, aku kira tak salah andai seorang anak meminati citarasa ayah kandungnya sebagai pelengkap memori mereka bersama yang kian memudar dan merisaukan hati kecilnya ini
.
Aku mungkin tak matang, aku mungkin kebudak-budakkan
Tapi aku juga punya rasa rindu pada cinta pertamaku itu
Aku mungkin bukan lagi kegemaran ayahku,
Tapi kegemaran ayahku akan sentiasa menjadi kegemaranku buat selamanya.
 Dan beliau juga akan selamanya menjadi jejaka kegemaranku

Al-Fatihah Allahyarham Mohd Nordin b Salleh <3


No comments:

Post a Comment