Monday, June 5, 2017

Hidayah itu Milik Allah

Kita semua tahu dan pernah dengar kisah-kisah terdahulu,

Bagaimana bait-bait ayat Al Quran – Surah Taha ayat 1 hingga 5 mampu melembutkan hati Saidina Umar Al Khattab yang dahulunya paling kuat menentang Islam,

Dan bagaimana keangkuhan dan keegoaan yang tinggi oleh Syaitan yang dahulunya ketua para malaikat dicampak keluar daripada Syurga dan dimurkai Allah SWT

Ternyata, hidayah itu hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa memberi dan juga menariknya semula

Sudah sekian lama, hati ini terpukul untuk berkongsikan suatu kisah daripada sejarah zaman pemerintahan Khulafa’ Ar-Rasyidin, pemerintahan pertama oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq selepas kewafatan baginda, Rasulullah SAW. Perkongsian tentang Sajjah binti Al-Harith.

Siapakah Sajjah binti al-Harith ini? Dia merupakan individu pertama dalam kalangan wanita yang mengaku dirinya seorang Nabi dan meskipun dia seorang wanita, Sajjah ini mempunyai pengikutnya yang setia – dianggarkan 4000 orang termasuk tokoh-tokoh kaum

Selain itu, dia juga antara mereka yang merancang untuk menyerang dan mengambil alih pentadbiran Islam di Madinah dengan mengambil kesempatan keadaan yang ketika itu sedikit huru-hara ekoran tindakan golongan murtad yang menentang pemerintahan Islam di Madinah. DIa beranggapan bahawa kerajaan Islam Madinah agak goyah selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Namun, setelah berlaku pelbagai rintangan menghadapi tentera Islam dan Sajjah telah memerangkap diri sendiri dengan tindakannya sendiri untuk bergabung kuasa dengan Musailamah, Sajjah membuat keputusan pulang ke kampung halamannya di Iraq

Setiba di Iraq, Sajjah mengambil keputusan untuk mendiamkan diri sehinggalah bumi Iraq berjaya ditawan oleh tentera Islam lalu ketika kejadian itu, Sajjah menjadi tawanan tentera Islam

Tidak lama selepas itu, Sajjah mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam dan menjadi seorang Muslimah yang beriman hingga ke akhir hayatnya

Jadi, persoalannya di sini, kenapa aku berkongsikan cerita ini pada kalian?
Aku pasti kebanyakan kalian sudah pun menemui jawapan kepada persoalan ini

Ya, betul. Aku berkongsikan cerita ini kerana aku mahu kita semua mengambil iktibar daripada cerita ini. Untuk buka mata dan buka hati, bahawa setiap manusia dan individu samada bukan Islam, Munafik, Fasik dan berdosa ini MAMPU untuk bertaubat serta kembali ke fitrah Islam yang sebenar, yakni menjadi Muslim/Mukmin yang diberikan ganjaran husnul khatimah, pengakhiran hayat yang baik.

Lihatlah, betapa dahsyatnya Sajjah di awal hidupnya, mengakui dirinya Nabi lagi mencuba untuk memerangi pemerintahan Islam dan di akhir hayatnya diberikan ganjaran Husnul Khatimah kerana hidayah oleh Allah SWT

Akhir kalam, aku harap kita semua, termasuk aku dan pembaca yang dirahmati Allah SWT diberikan ganjaran husnul khatimah di pengakhiran hayat kita nanti. Moga Allah SWT hiasi diri kita dengan hidayah-Nya dan hati yang senantiasa tetap di jalan kebenaran

Allah SWT berfirman,

“Dan barang siapa berbuat kejahatan dan menganiaya dirinya sendiri, kemudian dia memohon keampunan kepada Allah SWT, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” – An-Nisaa : 110


Jadikan bulan Ramadan ini bulan barakah yang mencorakkan diri kita ke arah kebaikan. Allahualam.

Sumber rujukan: Perang 4 Khalidfah / Zul Amran Omar